Friday, May 8, 2009

Anatomi Telinga dan Fungsinya


Bunyi pertuturan ditangkap dan kemudiannya akan dihantar secara gelombang bunyi ke telinga pendengar. Telinga mengandungi tiga bahagian iaitu telinga luar, telinga tengah dan telinga dalam. Bahagian telinga luar mengandungi pinna dan salur telinga. Ia berfungsi untuk menangkap gelombang bunyi menghala ke gegendang telinga. Semasa proses penghantaran bunyi ini, gelombang bunyi diubah dengan memodifikasikan komposisi spektral bergantung kepada kawasan di dalam telinga (Shaw 1974; Hebrank & Wright 1974). Terdapat kesan resonan pada pinna dan salur telinga di mana ianya meningkatkan tekanan bunyi dalam julat 2 hingga 7 kHz (Shaw 1974).

Gelombang bunyi sampai ke gegendang telinga lalu menggetarkan gegendang tersebut. Getaran gelombang bunyi dihantar ke telinga tengah di mana terdapatnya tulang-tulang osikel yang menguatkan gelombang bunyi yang hadir. Kawasan telinga tengah adalah dikenali sebagai rongga yang dipenuhi udara. Kemudiannya gelombang bunyi yang telah dikuatkan dihantar ke telinga dalam iaitu koklea di mana ianya dipenuhi dengan cecair. Bunyi dipindahkan melalui medium cecair tersebut dan mengaktifkan sel rerambut luar dan sel rerambut dalam. Seterusnya bunyi tersebut dihantar ke kawasan fungsi tertinggi melalui saraf auditori untuk ditafsirkan (Katz 1998).
Di alih bahasa oleh Nora..
mengikut penulisan tesis saya.